Saturday, 3 October 2015

Filled Under:

[ Jangan Baca Jika Mudah Terkejut] Kisah Seram Misteri Hotel Sungai Petani


[ Jangan Baca Jika Mudah Terkejut] Kisah Seram Misteri Hotel Sungai Petani

Gambar Sekadar Hiasan


Aku ni sebenarnya tak tahu sama ada aku ni “sensitive” atau tidak.. Selalunya, aku boleh merasakan kehadiran makhluk halus yang tidak diundang disekeliling aku, terutamanya di tempat baru. Kawan-kawan aku selalu suka membawa aku pergi ke tempat yang mereka ingin lawati terlebih dahulu sebelum mereka membuat tempahan kat hotel yang mereka ingin sewa. Mereka mahu melihat sama ada tempat tu ok atau tidak.


Pengalaman seram yang sememangnya tak dapat ku lupakan selagi aku masih bernyawa ni adalah pengalaman yang ku alami di sebuah hotel di sebuah pekan kecil di utara semenanjung.

Kali pertama aku menjejakkan kaki di pekan itu adalah pada tahun 1998.  Aku suka akan kehijauan dan kedamaian pekan tersebut, tetapi bukan hotel yang aku diami. Kali pertama menjejakkan kaki di perkarangan hotel tersebut, perasaan sayu, cemas, gerun, takut dan sedih menusuk di dalam sanubari aku. Aku ingat kan mungkin keadaan masa itu, (aku sampai kat hotel dalam pukul 6:30 petang) dan aku buat tak tahu je.

Aku ditempatkan disebuah bilik terakhir di block baru. Bila aku masuk, aku dapati bilik itu seperti sudah lama tak didiami, terlalu dipenuhi habuk dan terdapat sawang di siling. Di dalam bilik itu, aku rasa seperti aku diperhatikan. Aku pun ikat langsir dan aku dapati bilik aku mengadap pokok sukun yang sederhana besarnya. Mengikut kata orang-orang tua, pokok sukun nie ada hantu yang suka menumpang. Aku pun segera meminta pihak hotel menukar bilik aku dan alhamdulillah, mereka memenuhi permintaan aku. Aku tinggal di hotel itu selama lebih kurang dua minggu tanpa ada sebarang gangguan.

Kali kedua aku ke pekan itu, aku ditempatkan di hotel yang sama. Tempoh kali ini adalah lebih panjang, lebih kurang dua bulan setengah. Aku telah ditempatkan di bilik tidak jauh dari bilik lama dulu. Minggu pertama, semuanya berjalan lancar. Keadaan menjadi sebaliknya apabila masuk minggu ke dua. Aku terjaga setiap malam pada pukul 2 pagi dan tidak boleh melelapkan mata sehinggalah pukul 6 pagi. Bayangkan keadaan aku ketika itu, tanpa tidur yang cukup dan terpaksa ke pejabat keesokan harinya.

Pada satu malam, dalam lebih kurang pukul 10, aku pun menjalankan operasi biasa aku, check semua pintu dan tingkap sama ada telah aku kunci atau tidak. Aku pun check pintu sliding door balcony bilik aku tu, yelah petang tadi aku lepak kat situ sambil minum kopi mengadap swimming pool. Mana tau kot-kot aku terlupa menguncinya. Apabila aku tutup semula sliding door tu, aku terbau sesuatu yang amat busuk macam bau bangkai. Aku segera memeriksa kasut aku, mana tau aku terpijak taik kucing ke, bangkai tikus ke tetapi kasut-kasut aku tak ada bau. Aku pun buat kesimpulan bahawa mungkin bau tu masuk bilik aku masa aku bukak pintu sliding door tadi. Mungkin ada tikus mati kat taman bawah bilik aku tu kot (walaupun petang tadi masa aku lepak kat situ, mana ada bau busuk).

Aku terjaga seperti biasa dalam pukul 2 pagi. Aku cuba juga untuk melelapkan mata tapi setiap kali aku cuba untuk berbuat demikian, aku ternampak seperti bayang-bayang yang terbang di atas kepala ku. Ini adalah kerana keadaan dalam billik tersebut boleh dilihat dari atas katil kerana bilik itu banyak dihias menggunakan cermin. Aku seperti diperhatikan. Aku pun apa lagi, terus berjaga sampai pukul 6 pagi. Nasib baik masa tu siaran TV3 24 jam, boleh jugak aku pasangkan suara tv tu dan cuba menonton program yang ada.

Keesokan harinya, aku balik kerja cepat sebab aku ada projek, baca Yassin selepas solat Maghrib dan Isyak. Aku pun meneruskan projek yang telah ku rancang. Lebih kurang dalam pukul sepuluh, aku pun tertidur. Aku terjaga lagi pada malam itu dalam pukul 1 kerana aku terbau bau limau nipis yang kuat dalam bilik aku. Ini sudah kerja gila, aku memberitahu diriku. Aku berasa seolah-olah bilik tersebut penuh dan suasana dalam bilik itu panas dan tidak selesa langsung. Aku terdengar seperti orang berbisik tetapi tak tau biji butir percakapanya tapi aku tahu, aku tidak diterima untuk berada di situ.

Aku menggeletar di atas katil sendirian dan berperang dengan perasaan aku. Hati aku berbisik mengatakan kalau aku tak keluar dari bilik ni pukul 3 pagi, sesuatu yang buruk akan menimpa diri aku. Tepat-tepat pukul 3 pagi, aku lari keluar dari bilik aku dan terus ke lobi. Aku duduk dilobi dengan baju sejuk, bantal dan walkman. Aku duduk di situ dengan aman dan tenteram sehinggakan aku boleh tertidur di situ. Tiba-tiba, aku rasa ada sesuatu berdiri disebelah ku. Rupa-rupanya para petugas malam hotel tersebut datang kepada ku dan bertanya kenapa aku berada di situ dan juga dengan celuparnya bertanya, sama ada bilik aku ada hantu ke?

Yang aku ingat aku memberitahu mereka “Tolong tukar bilik I, I nak bilik lain la”. Berulang kali aku mengatakan perkara yang sama. Kemudian, petugas itu meninggalkan aku. Dalam pukul 6, aku telah dikejutkan oleh seorang pakcik yang baru masuk kerja syif yang sudi menolong aku pindah ke bilik baru. Aku berasa berat hati tetapi pakcik tersebut berjanji akan menunggu aku pack barang aku dan mengangkatnya sehingga ke bilik baru. Pakcik itu membawa barang aku dan menunjukkan bilik baru aku. Terima kasih pakcik, jasa mu akan ku kenang sampai bila-bila. Tapi yang menjadi pertanyaan pada diri aku sampai hari ini, semua pekerja hotel terbabit seolah-olah tahu sesuatu telah berlaku semasa aku lari keluar dari bilik aku tetapi tidak mahu memberitahu aku.

Oklah, setelah ditempatkan dibilik baru, apabila aku balik dari kerja petang tu, receptionist kata diorang dah upgrade bilik aku dari deluxe ke junior suite dan pada harga bilik deluxe. Diorang upgrade kan bilik aku sebab diorang kata, dekat “wing” bilik lama aku tu, cuma aku sorang je yang ada, bilik lain semuanya kosong. Walaupun ada guard rounding, diaorang takut kalau jadi apa-apa, tak ada orang yang tahu….

Tiba-tiba buat aku terfikir, mungkinkah mereka tahu keadaan sebenar hotel diorang tapi tak nak takutkan pelanggan, almaklumlah, nanti tak ada bisnes. Tambahan pula, menurut kata pihak hotel, bilik baru ni terletak tidak jauh dari meja receptionist. Diorang dah siap angkut barang² aku dan letakkan kat bilik baru. Aku pun apa lagi, seronok lah tanpa mengetahui nasib yang akan menimpa diriku seterusnya.

Mula-mula tu aku rasa selesa dalam bilik tapi setelah dua tiga malam tidur di situ, aku mula rasa perasaan yang sama seperti dibilik-bilik sebelumnya. Tiap-tiap malam aku terdengar bunyi orang berkawad di luar dan dalam bilik. Bila aku cuba memeriksanya, tidak ada seorang pun yang kelihatan. Aku masih lagi terjaga pada pukul 1:00 pagi dan tak boleh melelapkan mata hingga ke pagi. Aku cuma berasa selesa apabila azan Subuh berkumandang, seolah-olah dapat melihat “benda-benda” tu semuanya bertempiaran lari dari bilik aku.

Pada satu malam, seperti biasa dalam pukul 1 pagi aku terjaga, kali ini aku amat terkejut kerana aku terhidu bau shampoo yang masih segar, seolah-olah ada orang baru sahaja selesai mandi. Aku tahu bau tersebut adalah bau shampoo yang baru ku beli petang tadi. Aku pun masuk ke bilik air untuk menyiasat dan amat terkejut kerana bilik air tersebut masih basah, seolah-olah ada orang baru sahaja selesai mandi. Aku amat pasti bahawa sebelum aku tidur tadi, bilik air tersebut kering sahaja. Masih terdapat kesan wap panas di cermin bilik air. Perasaan ku yang pada mulanya cuak mula menjadi huru-hara. Aku tidak tahu apa yang aku patut lakukan, sama ada keluar dari bilik air atau keluar dari bilik aku. Dalam keadaan itu, aku segera mengambil keputusan untuk keluar dari bilik air dan duduk diluar sementara memikirkan apa tindakan yang sepatutnya aku buat.

Tanpa ku sangka-sangka, aku sebenarnya tersilap membuat perhitungan. Apabila aku tiba diluar, aku teramat terkejut kerana ada benda yang sepatutnya tidak berada di dalam bilik ku berada di atas katil aku. Tak dapat aku bayangkan perasaan aku ketika itu, kalau toreh pisau kat muka pun tak keluar darah. Aku nampak 3 kepala manusia sedang bergolek-golek di atas katil aku!! Apabila menyedari aku memerhatikan aksi mereka, mereka segera berhenti dan menyeringai ke arah ku. Aku tidak tahu dari mana aku dapat kekuatan aku kerana tiba-tiba sahaja aku dapati diri aku kini berada di lobi hotel (sekali lagi). Kali ini aku memilih untuk duduk di kerusi sebelum meja reception (menuju ke arah bilik lama aku) kerana aku tidak mahu dihujani dengan pertanyaan pihak pengurusan hotel.

Aku telah mengambil keputusan nekad, check out dari hotel tersebut petang itu jugak. Aku menerima tawaran salah seorang rakan sekerja aku untuk tinggal bersama dia. Pihak pengurusan hotel terbabit cuba untuk memujuk aku tinggal di situ memandangkan mengikut tempahan awal, aku sepatutnya tinggal di situ selama 2 bulan setengah. Salah seorang dari pengarah mereka telah menelefon aku di pejabat setelah seminggu aku keluar dari hotel mereka dan aku menceritakan semuanya tanpa selindung. Yang peliknya, dia tidak pula menafikan kisah seram aku, cuma dia diam sahaja seolah-olah tahu yang sebenarnya memang ada masalah dengan hotel mereka.

Daripada salah seorang kawan aku yang bapanya kerja kat hotel tersebut (wonder why aku tak pernah tanya dia sejak dari mula), hotel tersebut memang seram. Bapanya turut mengatakan semua bilik yang aku pernah diami itu sememangnya tak pernah lama dihuni orang kerana keesokan harinya penghuni bilik-bilik terbabit pasti akan bertanya kepada pihak kaunter sama ada bilik mereka itu ada hantu. Cuma kes aku sahaja yang terlalu ekstrem sehingga pihak pengarah mereka pun tahu mengenainya.

Menurut bapa kepada kawan aku, beberapa pekerja part time bahagian dapur pun mengalami masalah yang sama. Ada sorang student ITM yang buat part time kat situ tu sampai demam panas kerana terlalu terkejut melihat 3 lembaga hitam sedang makan di dalam dapur hotel terbabit. Dia hairan mendengar bunyi bising di dalam dapur dan seperti aku, cuba untuk menyiasat.

Kalau setakat panggilan telefon ditengah malam ke meja front office tu perkara biasa (mengikut kata pakcik tu lah). Bila mereka jawab panggilan tersebut, yang kedengaran hanyalah hembusan nafas dan kemudian diikuti oleh hilaian ketawa yang panjang. Daripada switchboard tu, mereka tahu bilik mana yang membuat panggilan dan menyuruh guard pergi check bilik-bilik terbabit (walaupun mereka tahu dalam register tak ada orang di bilik terbabit) dan guard tersebut selalunya mendapati bilik itu tidak dihuni oleh sesiapa pun.

Begitulah kisah seram aku berdasarkan pengalaman aku sendiri. Mungkin tidak seram seperti yang korang harapkan tapi aku telah menulisnya dengan cara aku sendiri. Jangan cuba tanya nama hotel tersebut kerana aku tidak akan memberitahu. Yang boleh ku katakan, hotel tersebut terletak di Sungai Petani.




0 comments:

Post a Comment