Saturday, 10 October 2015

Filled Under:
,

Kehebatan TEKNOLOGI KETENTERAAN Kerajaan Melayu Melaka Yang Buat Kita Kata WOW !!




Kehebatan TEKNOLOGI KETENTERAAN Kerajaan Melayu Melaka Yang Buat Kita Kata WOW !!


15 Ogos 1511, adalah tarikh yang sangat memilukan umat Melayu. Hari ini, tewasnya sebuah empayar kebanggaan umat Melayu keseluruhannya. Masih terngiang-ngiang di telinga saya, beberapa orang rakan malah guru yang mengejek dan mencemuh dengan kata-kata

“Alah…apalah hebat sangat pada Melaka, Portugis serang tak sampai seminggu terus kalah teruk, lari lintang pukang”

“Melaka kalah dengan mudah kerana teknologi persenjataan yang sangat lemah, bayangkanlah orang kita berperang hanya guna keris, sumpit dan tombak, padahal Portugis guna meriam dan senapang, mana tak kalahnya..”

“Orang Melaka semua jakun sebab tak pernah tengok Meriam lalu lari lintang pukang”.
.
Kalaulah mereka tahu hakikat yang sebenar, kalaulah. 

Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini dan bagaimanakah gambaran sebenar detik-detik Melaka mempertahankan dirinya dari diperkosa Portugis?

Hakikat yang sebenarnya ramai tidak tahu adalah Melaka sudah mencapai kedudukan politik yang unggul sementara perdagangannya juga terus berkembang, dan pelabuhannya menggamit pelbagai bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Imej bandar terapung seperti Venice dan Genoa serta pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga Muar bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap kosong sahaja.

Walaupun memang wujud kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi konflik dalaman yang sering kita dengar namun ianya belum cukup parah untuk menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis. Tambahan lagi oleh sebab begitu makmurnya Melaka maka banyaklah kaum-kaum ‘asing’ yang mula dengki, hasad dan cemburu akan kekayaan Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini juga ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan lagi kemaraan Portugis.

Sesungguhnya tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat kita rungkaikan disini. Namun memadai rasanya untuk kita membuka perbincangan dalam hal kesungguhan dan semangat juang Melaka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada dinodai oleh Portugis.

Sebelum itu yang paling penting ialah pandangan kita bahawa Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam, senapang atau istinggar dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan dibuang sejauh mungkin. Seperti yang saya pernah sebut dahulu angkatan Portugis dicatatkan membawa pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan teknologi barat.

John Crawfurd memetik catatan De Burros dalam bukunya, A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries, bahawa ketika Portugis menawan Melaka dahulu, mereka berjaya merampas antara 3000 hingga 8000 senjata api daripada Melaka, dan De Burros sendiri mengatakan bahawa Portugis sendiri tidak mampu untuk menghasilkan senjata api sebanyak itu. Bahkan catatan De Burrous menjelaskan lagi kepada kita bahawa Portugis menjumpai sebuah meriam Melayu Melaka yang jauh lebih besar daripada meriam yang dipunyai oleh Portugis dan meriam itu telah dihantar ke India.

Catatan yang lain pula, seperti yang dinukilkan oleh Godinho Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. Tiga ribu pucuk meriam besar telah dijumpai dalam kota Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang.

Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi di Melaka. Faria y Souza mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 8000 pucuk senjata api atau meriam yang dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang. Ini bermakna Pahang merupakan sebuah negeri penghasil senjata api yang berkualiti dan banyak pada zaman itu.

Menurut Eredia lagi, semua meriam-meriam itu dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun dengan meriam buatan Portugis. Daripada catatan Eredia ini, dapat disimpulkan bahawa teknologi senjata api yang dimiliki oleh bangsa Melayu Melaka pada waktu tersebut adalah sama tarafnya dengan teknologi persenjataan orang Eropah, malahan mungkin lebih baik.

Seorang berbangsa Itali yang terlibat di dalam penyerangan terhadap Melaka pada tahun 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis senjata api berat yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang agak ramai di pihak portugis. Menurut beliau, walaupun akhirnya tentera Melayu Melaka kalah, namun mereka digambarkan mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.

Thomas John Newbold, seorang pegawai British di Melaka pernah mencatatkan di dalam Political and Statistical Account of the British Settlements in The Straits Of Malacca, Volume 2 bahawa kilang-kilang yang menghasilkan senjata api seperti meriam-meriam milik bangsa Melayu sudah lama bertapak bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan di sekitar Kepulauan Melayu. Terengganu menjadi hub penghasilan senjata api di Semenanjung, manakala Gerisik merupakan hub untuk Pulau Jawa, dan hub untuk Sumatera pula ialah Minangkabau.

Bahkan Newbold turut mengulas mengenai pemandangan biasa yang dilihatnya ketika berada di Tanah Melayu pada abad ke-18 yang dipercayai Newbold sudah lama budaya itu itu bertapak di Tanah Melayu. Katanya, tidaklah sesuatu yang menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu yang lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api Melayu seperti Istingar.

Kita lihat pula tulisan R. J. Wilkinson, “The Capture of Malacca, A.D. 1511”. Beliau menyebut mengenai beberapa perkataan sepert “Malay gun-fire” dan “heavy fire” merujuk kepada bala askar Melaka ketika itu ketika menceritakan mengenai kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan dalil bahawa orang Melayu kita ketika itu sudah memiliki senjata api.

Diceritakan bahawa ketika askar Portugis cuba memasuki muara Sungai Melaka yang cetek dan berlumpur itu, mereka telah dihujani oleh divisyen askar Melaka yang menggunakan senjata api dan menghujani askar Portugis dengan senjata api

Walaupun dalam naskah Sulalatus Salatin ada ditulis yang serangan meriam Portugis menggemparkan orang Melaka bagai bertih digoreng, namun petikan tersebut harus ditafsir sebagai penyedap cerita untuk khalayak pembaca atau pendengar. Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti di muzium atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan dengan penuh daif dan uzur juga perlu kita buang jauh-jauh.

Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan tersebut terbina dengan sangat kukuh, malah rekod-rekod China beberapa dekad sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih kurang 20 buah kedai di atas jambatan tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini seperti jambatan London Bridge yang pada zaman pertengahan penuh dengan kedai-kedai. Pihak Portugis juga mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk merobohkan jambatan tersebut atas maklumat risikan dari Ruy de Aroujo.

Di dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan pertempuran berlaku di daratan kota Melaka sahaja, namun dari catatan Portugis didapati pertempuran sebenarnya telah bermula sejak di laut lagi. Sebelum pihak Portugis berjaya mendarat, mereka dilaporkan telah diserang tentera Melaka di perairan yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis.

Pihak Melaka menggunakan perahu atau lancara yang diisi dengan minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan ke kapal-kapal Portugis. Taktik ‘Fire Ship’ ini sering digunakan di Eropah juga seperti dalam perang Inggeris dengan Sepanyol pada zaman ratu Elizabeth.

Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke kapal-kapal Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan. Oleh itu pendapat yang mengatakan meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga harus dibuang kelaut.

Melaka juga melaksanakan strategi menggertak dan tindakan perang psikologi untuk menakutkan pihak lawan dengan mengeluarkan sejumlah perahu perang, lancara, tongkang, sampan dan sebagainya yang lengkap bersenjata untuk menunjukkan kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar Melaka yakni armada jong perang gergasinya yang diketuai laksamana pada waktu itu tiada di perairan.

Maklumat daripada catatan Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa tentera Melaka telah menggunakan lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan kapal Portugis. Di kawasan pantai pula pertahanan dikukuhkan dengan pancangan kayu dan besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam pelbagai jenis besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.

Sebenarnya saudara sekalian perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat. Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang dahulu.

Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis mahu tawanan Portugis termasuk Ruy de Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan mula semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan dikawasan penginapan para pedagang berdekatan pantai.

Portugis menyerang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera. Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai. Walaupun Sultan kemudiannya membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.

Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah mempunyai perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh Ruy de Aroujo dan orang-orang dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu. Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri. Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka.

Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa

“Kita tidak akan dapat menawan melaka dengan hanya dua batang pedang yang berkarat!”

Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah dan sinar Islam disini akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar mereka.

Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita sering mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600 tentera upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah.

Maklumat daripada catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan demikian kita menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan Melaka.

Malahan terdapat beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan barisan sokongan dalam serangan keatas Melaka. Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 julai 1511 terdapat 1500 orang tentera Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang putera Sumatera (Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400 orang.

Ini semua belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak bersungguh-sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.

Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka, Bandar pelabuhan, Istana dan Masjid sultan. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan disamping barisan pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang.

Seperti yang saya telah sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini telah dibayar gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan dengan Alfonso de Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah menggadaikan nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain’.

Persoalannya adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak berada di perairan Melaka pada ketika itu.

Sebelum mulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui Portugis yang menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu sampai.

Hal ini disebabkan pihak Portugis sangat takut dengan risikan yang diberikan oleh Ruy de Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan Melaka mempunyai satu armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang bernama ‘Laksamana’ yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika mereka lambat bertindak.

Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan Mahmud Shah dan keluarganya berundur ke Bentayan di Muar.

Pada pendapat saya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk mengatur strategi baru.

Sultan Mahmud Shah juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan waris-warisnya belum mati.

Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering disebut-sebut. Bukan disebabkan teknologi persenjataan yang lemah dan bukan kerana kejakunan tentera Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis. Barisan pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik dan strategi pertempuran.

Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah gagah perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis. Orang Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang sama hebatnya dengan bangsa Melayu.

Sebelum mereka menyerang Melaka banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki Uthmaniah yang terkenal hebat itu.

Kekalahan Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan kesepakatan diantara ‘Anakvanua’, dan sikap terlalu memberi kepercayaan kepada ‘anak dagang’ atau bangsa ‘asing’.

Bak kata pepatah ‘apalah diharap pada dagang, bertukar musim berlalulah ia’.

Sikap terlalu bertoleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri sendiri apabila golongan-golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka dan menikam dari belakang!

Baik dagang Kalingga, dagang Ming, dagang Burma, maupun dagang Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya menjadi duri dalam daging. Harapkan pegar,pegar pula makan padi.

Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada anak-anak vanua pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka kalah berperang kerana menggunakan keris dan sumpit semata-mata yang ternyata tidak benar.

Sekian, wallah hu a’lam.

Rujukan:

•Prof Emeritus Dr. Muhammad Yusof Hj. Hashim , Kisah Melaka 1511, Institute Kajian Sejarah Dan Patriotism Malaysia, 2006.

•Abdul Aziz Zakaria, Portugis Dalam Sejarah Melaka, DBP, 1963.

•Portuguese Documents on Malacca: 1509-1511, National Archives of Malaysia, 1993.

•Muhammad Yusoff Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History, Dewan Bahasa & Pustaka, 1992.

*The Capture of Malacca, A.D. 1511 oleh RJ Wilkinson

*Asia Portugueza oleh Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek

* A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries oleh De Burrowss




0 comments:

Post a Comment